Wednesday, 5 October 2016

Baca Buku (Riwayat Rasulullah - Hijrah)4


Perjalanan Hijrah Rasulullah s.a.w bersama 3 yang lain melalui kampung-kampung di sepanjang laluan menghala ke Quba'. Perjalanan ini menyingkap pelbagai peristiwa menarik...

1          Pada suatu hari, mereka tiada tempat berteduh daripada panas terik, lalu Abu Bakar mencari dan ternampak tempat berteduh di tepi batu. Abu Bakar pun membersihkan kawasan itu serta menghampar baju luarannya bagi membolehkan Baginda berbaring, sementara dia pergi mencari makanan. Di situ Abu Bakar menemui seorang pengembala, budak lelaki Badwi yang sedang duduk berteduh. Abu Bakar meminta sedikit susu untuk Rasulullah s.a.w. Susu tersebut disejukkan dengan sedikit air sambil menunggu Baginda terjaga lalu memimumnya. 

2          Sesiapa yang bertanya Abu Bakar tentang temannya itu yakni Rasulullah s.a.w, Abu Bakar menjawab bahawa temannya itu adalah pemandu perjalanannya. Orang yang bertanya itu faham bahawa Rasulullah s.a.w adalah seorang pemandu perjalanan, tetapi maksud Abu Bakar ialah pembimbing ke jalan yang benar. 

3          Oleh kerana Orang Quraisy akan menghadiahkan 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah s.a.w, ramai orang mencuba nasib mencari Baginda dan sahabat Baginda. Antaranya adalah Suraqah yang mendapat maklumat tentang 4 orang sedang bergerak di satu laluan. Suraqah secara sulit menjejaki 4 orang itu berseorangan agar dia sahaja yang akan dapat hadiah itu. Dengan menunggang seekor kuda, dia terus laju memburu mereka. Dalam perjalanan itu kudanya tersadung dan tersungkur ke bumi. Mengikut kepercayaan bangsa Arab, itu merupakan petanda tidak baik, tetapi nafsu kebendaan mengaburi hatinya, maka dia terus mengejar mereka. Sekali lagi dia menemui nasib yang sama tapi dia tetap tidak peduli. Sekali lagi dia melompat ke atas pelana lalu memecut selaju yang boleh dan akhirnya hampir berjaya mendekati Baginda. Hati Abu Bakar berdebar-debar dan sentiasa memandang ke belakang sementara Rasulullah s.a.w tetap tabah sambil membaca ayat-ayat Al Quran. 
          Sudah berkali-kali kudanya tersungkur dan gagal dalam pemburuan itu, lalu timbul kesedaran akibat kecelekaan yang menimpa dirinya. Justeru dia insaf bahawa itu adalah amaran keras daripada Allah. Seterusnya dia mendekati Baginda dan yang lain dengan penuh penyesalan dan rendah diri menuntut keampunan daripada Rasulullah s.a.w. Dia menyapa Baginda dan yang lain sambil berkata, "Kaum kamu, Quraisy menjanjikan hadiah lumayan jika dapat menangkap kamu." Dia juga menawarkan bekalan makanan tetapi mereka menolaknya. Mereka cuma memintanya merahsiakan keberangkatan mereka. Lalu Rasulullah s.a.w memaafkannya. Suraqah segera kembali ke Makkah dan cuba menggagalkan rancangan memburu Baginda. Malah dia memeluk Islam dan menjadi seorang pengikut yang amanah. 

4          Mereka meneruskan perjalanan hingga tiba ke sebuah khemah terpencil milik Umi Ma'bad al-Khuza'iyah. Dia seorang wanita yang berhemah dan sering duduk di muka pintu khemahnya menantikan kalau-kalau ada pengembara melalui tempat itu. Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya dalam kepenatan dan dahaga, serta ingin memulihkan tenaga dengan mendapat makanan dan sedikit susu. Wanita itu memberitahu mereka bahawa sekawan kambingnya berada di padang ragut sementara seekor lagi yang berada tidak jauh daripada mereka kekeringan susu kerana tiada hujan sepanjang tahun. Dengan izin wanita itu, Baginda menyentuh tetek itu sambil berdoa kepada Allah, tiba-tiba terpancut susu dengan banyaknya daripada tetek kambing itu. Lantas Baginda memberikan susu kepada wanita itu dan Baginda berkongsi selebihnya dengan anggota rombongan yang lain.
          Sebelum meneruskan perjalanan, Baginda memerah lagi susu kambing itu dan memgisimya ke dalam sebuah bekas lalu menyerahkannya kepada Umi Ma'bad. Apabila Abu Ma'bad, suami kepada Umi Ma'bad pulang dengan sekawan kambing yang kurus kering, dia kagum melihat susu dalam rumahnya. Isterinya memaklumkan bahawa ianya berkat seorang lelaki yang melintas lalu di laluan rumah mereka, dan dengan terperinci dia menggambarkan wajah dan cara pertuturan lelaki itu. Abu Ma'bad dengan serta merta yakin yang orang itulah sedang dicari Kaum Quraisy dan menyuruh isterinya memberi gambaran lengkap tentang lelaki itu. Dia menceritakan tentang susuk badan dan gerak lakunya. Selepas mendengar keterangan isterinya,  Abu Ma'bad dengan ikhlas melahirkan keinginannya untuk menemani Rasulullah s.a.w ke mana-mana sahaja. 

5           Dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah s.a.w bertemu Abu Buraidah, salah seorang yang tertarik dengan tawaran hadiah Quraisy. Tidak lama selepas bersemuka dan bercakap dengan Baginda, dia memeluk Islam bersama 70 orang pengikutnya. Dia menanggalkan serbannya lalu mengikat sekeliling tombaknya dan membawanya sebagai panji-panji bagi membuktikan bahawa malaikat keselamatan dan perdamaian telah datang untuk memberi berkat ke seluruh dunia dengan adil dan saksama. 


Pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 23 September 622 Masihi, tibalah Rasulullah SAW ke Quba'. 


 Bersambung pada Maal Hijrah akan datang Inshaa Allah n_n




No comments:

Post a Comment