Thursday, 3 November 2016

SYURGA AKU DATANG

Perjalanan yang jauh beribu batu,
Di lorong berbukit serta berliku,
Ku mengatur langkah dan terus maju,
Ke destinasi yang ingin ku tuju... 

Syurga Aku Datang, 
Bab 1: Penipuan Sebuah Kehidupan

        Hayat ini terlalu pendek untuk disia-siakan dan terlalu panjang untuk diteruskan. Ilmu dan pengalaman mengajar Bain tentang "Penipuan Sebuah Kehidupan" 

        Sejak kecil Bain berlari lintang pukang demi mengejar kemenangan. Kehidupan ketika itu ibarat perlumbaan. Bain mengambil bahagian dalam pelbagai perlumbaan, tetapi tak banyak yang Bain menang. 

        Tatkala banyak kekalahan yang Bain hadapi, Bain mula bertanya pada diri sendiri "kenapa aku perlu menang?". Masa yang pantas berlalu diiringi dengan kekalahan-kekalahan yang amat memilukan, Bain mula bertanya pada diri sendiri "kenapa aku perlu berlumba?". 

        Soalan-soalan sedemikian sedikit demi sedikit akhirnya terjawab, dikala usia yang semakin meningkat mematangkan pemikiran Bain. Bain menganggap diri Bain serba kekurangan dibandingkan dengan budak-budak yang lain. Bain beranggapan budak-budak yang lain memandang rendah pada diri Bain. Oleh yang demikian, Bain menjadikan budak-budak yang lain sebagai pesaing-pesaing yang perlu ditewaskan. Inilah jawapannya, di sinilah perlumbaan itu bermula. 

        Bain perlu menang dalam perlumbaan itu agar budak-budak yang lain mengiktiraf kehebatan Bain. Bain perlu menang demi hadiah kemenangan yang dijanjikan berbentuk wang dan harta benda. Bain perlu menang agar Bain dapat berkawan dengan budak-budak lain yang hebat-hebat. Bain perlu menang supaya Bain tidak merasakan yang diri Bain serba kekurangan. 

        Kini Bain sedar, Bain telah menghina diri sendiri. Bain tidak seharusnya membandingkan diri dengan orang lain. Sepatutnya Bain membandingkan diri dengan diri Bain yang semalam. Bain juga sedar, perlumbaan dalam kehidupan ini adalah satu penipuan, yakni penipuan sebuah kehidupan.

No comments:

Post a Comment